KUALA LUMPUR – Perselisihan faham berkaitan agama disyaki punca seorang lelaki memukul ibunya sehingga mati dalam kejadian di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG, di sini.
Mayat ibunya berusia 80-an itu kemudian ditutup dengan tuala serta kain sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku sejak Mac 2021.
Suspek berusia 50-an itu didakwa bertindak sedemikian ketika mahu mengajar ibunya cara untuk memasuki ‘syurga’.
Menurut sumber, suspek membuat laporan polis hari ini dipercayai akibat kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.
“Susulan laporan yang diterima sekitar pukul 9 pagi itu, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu mayat yang disimpan di dalam peti sejuk beku di ruang tamu. Suspek turut ditahan di kediaman tersebut,” katanya.
Jelas beliau, mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
“Suspek setakat ini ditahan di PPUM untuk menerima rawatan,” katanya.
Difahamkan, permohonan reman akan dibuat terhadap suspek esok.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan polis. -KOSMO! ONLINE