SHAH ALAM – Tiada sebarang unsur jenayah dikesan, sebaliknya berlaku kecuaian dalam kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point, Ampang baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu diperoleh hasil siasatan pihaknya berdasarkan keterangan saksi dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang laluan van syarikat keselamatan tersebut.
Katanya, beg berisi wang itu disedari hilang selepas kenderaan tersebut tiba di sebuah bank di Kuala Lumpur sebaik selesai proses kutipan di cawangan bank sama di Ampang Point.
“Hasil penelitian tiada unsur jenayah sama ada curi atau merompak. Berpandukan keterangan saksi dan CCTV, kita nampak pintu belakang van terbuka dan jatuh semasa selekoh di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
“Jadi, ada kecuaian semasa tutup pintu van tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Hussein bagaimanapun menegaskan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Sekyen 379 Kanun Keseksaan dan kita tunggu keputusan DPP.
“Wang itu juga masih dalam simpanan polis dan tunggu tindakan lanjut daripada DPP sebelum dipulangkan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan dua lelaki berusia 52 tahun dan wanita 38 tahun yang merupakan pengawal keselamatan telah dibebaskan dengan jaminan polis Ahad lalu.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang semalam dalam kejadian di Ampang Point, sudah ditemui semula orang awam sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. – KOSMO! ONLINE