fbpx

Tak sempat balik rumah, maut dirempuh pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal mangsa selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

ALOR GAJAH – Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak sempat pulang ke rumahnya apabila maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk dalam nahas di Jalan Jeram, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, 24, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke Kuala Sungai Baru.

“Setiba di lokasi, tiba-tiba sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah bertentangan telah masuk ke laluan mangsa dan merempuhnya.

“Akibat kemalangan itu mangsa telah tercampak dan ditemui berada di tepi jalan dalam keadaan tidak bernyawa, manakala pemandu terbabit dikejarkan ke zon merah Hospital Alor Gajah kerana mengalami kecederaan parah di kepala,”katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan awal pemandu Wira tersebut dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan sampel darah telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi pengesahan kandungan alkohol dan dadah.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI