SINGAPURA – Singapura kini dikenali sebagai ibu kota petir dunia kerana kekerapan berlaku fenomena tersebut dalam tempoh setahun, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut rekod Stesen Cuaca Changi, kejadian kilat atau petir berlaku secara purata antara 171 hingga 186 hari dalam tempoh setahun.
Pada 2021, Singapura mempunyai kepadatan petir tertinggi di dunia, dengan 163.08 kejadian petir bagi setiap kilometer persegi.
Secara umumnya, terdapat lebih banyak ribut petir di kawasan beriklim tropika.
Ribut petir itu disebabkan oleh dua faktor.
Faktor pertama adalah angin yang membawa kelembaban dari laut ke kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, faktor kedua pula disebabkan angin kencang dan hujan lebat yang terbentuk di Pulau Sumatera dan Selat Melaka mewujudkan ribut petir yang bergerak ke arah Malaysia serta Singapura. – AGENSI