PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilaporkan terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat sejak pagi tadi.
Antara lokasi yang terjejas ialah Batu Belah dan Jalan Meru di Klang serta Seksyen 13 di Shah Alam.
Situasi tersebut dilihat menyebabkan beberapa jalan utama sesak termasuk laluan dari Setia Alam menghala ke Klang ekoran banjir di kawasan berhampiran Bandar Bukit Raja.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, menunjukkan keadaan kawasan yang mengalami limpahan air sehingga mengakibatkan beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpu sehingga pukul 1 tengah hari.- KOSMO! ONLINE