PETALING JAYA – Lorong kecemasan dan separuh lorong kiri di Kilometer (KM) 18.6, Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE) di sini ditutup sementara ekoran kejadian tanah mendap hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi tadi.
“Ekoran insiden itu, lorong kecemasan dan separuh lorong kiri ditutup bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan kerja-kerja pembaikan.
“Pihak polis ingin mengingatkan dan memohon semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai diingatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan selain sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
Polis Diraja Malaysia menasihati pengguna agar sentiasa peka dan berhati-hati semasa melalui laluan di lokasi kejadian.
Terdahulu, PLUS Malaysia dalam hantaran di Facebook memaklumkan, kejadian berlaku di KM 18.6 arah selatan antara laluan Kota Damansara ke Damansara.
Hujan lebat di Lembah Klang awal pagi tadi turut mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga menjejaskan pengguna jalan raya.- KOSMO! ONLINE