PELAKON Saif Ali Khan mendedahkan menerima ugutan bunuh selepas mengumumkan bakal mengahwini Kareena Kapoor sekitar 12 tahun lalu.
Kata Saif, orang tuanya iaitu Sharmila Tagore dan Mansoor Ali Khan turut menerima ancaman serupa sekali gus membuatkan ahli keluarga terdekat turut berada dalam ketakutan.
Apatah lagi, surat ugutan juga diterima keluarga Kareena termasuk ancaman mengebom lokasi majlis perkahwinan mereka.
Begitu pun, pasangan terbabit meneruskan perancangan berkahwin di sebuah lokasi tertutup dengan dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.
Kata aktor berusia 54 tahun itu, mereka enggan menuruti arahan individu terbabit kerana yakin ancaman berkenaan sekadar satu ugutan main-main, bukan betul-betul dilakukan seperti yang diungkapkan.
Menurut Saif, ugutan tersebut hanya berpunca daripada kemarahan dan gangguan emosi peminat yang tidak menyenangi rancangan perkahwinannya dengan Kareena.