GURUN – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) terus mengorak langkah untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menerusi penambahan sebanyak 1,092 motosikal elektrik untuk kegunaan posmen.
Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao berkata, usaha itu hasil kerjasama dengan Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) dan DRB-HICOM EZ-Drive Sdn. Bhd. (Avis) yang menunjukkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan lebih bersih dan hijau.
“Kami sebelum ini sudah memiliki armada kenderaan elektrik (EV) terbesar dalam sektor logistik Malaysia iaitu dengan 220 buah motosikal elektrik dan 143 van elektrik yang telah digunakan di seluruh negara.
“Motosikal dan van elektrik ini secara keseluruhan telah menempuh jarak yang mengagumkan iaitu sejauh 2.8 juta kilometer (km) yang bersamaan dengan memandu sebanyak 71 kali mengelilingi bumi
“Jadi dengan penambahan 1,092 motosikal elektrik ini akan membolehkan kami membuat penghantaran dengan lebih selamat dan cekap sambil menyumbang kepada udara lebih bersih serta persekitaran yang lebih sihat untuk komuniti,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima motosikal elektrik MEV-1 Pro daripada Modenas di Kilang Modenas, di sini hari ini.
Modenas MEV-1 Pro merupakan motosikal elektrik kedua syarikat itu selepas MEV-1 dengan hanya seberat 80 kilogram (kg) dan mempunyai kuasa 4.9kW dan 165 Nm tork dengan pacuan di bahagian tayar belakang tanpa sebarang tali sawat.
Ia mempunyai bateri sebesar 5.4 kWh yang memberikan jarak perjalanan sekitar 95km dengan masa pengecasan AC kosong sehingga 100 peratus selama empat jam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, bagi kegunaan Pos Malaysia, MEV-1 PRO direka untuk menampung beban kargo sehingga 150kg dengan berat maksimum yang dapat ditampung bersama posmen adalah 250kg.
Malah katanya, ia mampu mendaki cerun 19 darjah dan turut dilengkapi dengan fungsi undur, tiga mod kelajuan, suspensi belakang tunggal yang membolehkan tayar ditukar dalam masa lima minit serta sistem pemantauan berpusat. – KOSMO! ONLINE