SHAH ALAM – Tindakan seorang pengarah syarikat berkaitan pembekalan tenaga manusia dipercayai mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM1. 11 juta untuk kemasukan 600 pekerja asing memakan diri apabila direman enam hari.
Perintah reman terhadap suspek lelaki warga Bangladesh berusia 47 tahun dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada prosiding itu, suspek diwakili Peguam Farah Sofea Rudin Shah.
Menurut sumber, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 8.50 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu dengan mengemukakan butir matan palsu kepada sebuah kementerian.
“Ini bagi kelulusan kuota kemasukan pekerja asing seramai 600 orang melibatkan dua permohonan.
“Semakan awal mendapati permohonan itu masing-masing adalah berjumlah RM647,500 dan RM462,500 sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE