KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menganggap aksi persahabatan bertemu Laos dan India sebagai penanda aras untuk melihat ‘progres’ anak-anak buahnya menjelang kelayakan Piala Asia 2027 tahun depan.
Menurutnya, dua perlawanan itu bakal menjadi medan yang berbeza untuk menguji tahap kekuatan pasukan dan berharap semua pemain dapat berikan 100 peratus di atas padang.
Pau Marti berkata, perlawanan menentang Laos boleh dikatakan sebagai aksi pemanas badan sebelum Piala ASEAN 2024, manakala India boleh menjadi persediaan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia 2027.
“Ini adalah peluang yang bagus untuk kami merasai pengalaman bermain di gelanggang lawan. Saya anggap dua persahabatan ini berbeza dan pendekatan pasukan juga berlainan.
“Laos mungkin kami boleh katakan sebagai persiapan untuk PIala AFF (ASEAN) dan India lebih kepada kelayakan Piala Asia tahun depan.
“Kami akan berdepan perlawanan sukar di tempat lawan dalam kelayakan. Jadi, peluang untuk pasukan seperti India dapat membantu persiapan kami,” katanya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut gembira dengan pemilihan Zhafri Yahya dan Fazrul Amir Md. Zaman yang menggantikan Natxo Insa serta Mukhairil Ajmal Mahadi yang dilepaskan kerana kecederaan.
“Zhafri sudah lama berada dalam kem skuad kebangsaan tetapi tidak pernah mendapat minit permainan. Saya katakan kepada Zhafri bahawa dia cukup penting dan mana-mana jurulatih pasti mahukannya dalam pasukan mereka.
“Dia sentiasa bersedia untuk membantu pasukan dan kini kami boleh memberinya peluang.
“Fazrul pula pemain yang kami pantau sejak dua tahun lalu dan ini adalah peluang yang sesuai untuk menggunakan khidmatnya,” katanya.