KUALA LUMPUR – Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dengan salah laku jenayah seperti membuli dan mendera boleh diberhentikan daripada tugas.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain itu mereka juga berisiko dibuang daripada pengajian selain perlu membayar semula segala tajaan dan elaun yang telah diperuntukan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef).
“Kementerian tidak akan kompromi dalam perkara ini dan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikannya daripada menjadi kadet.
“Kita juga akan menuntut balik bayaran tanggungan yang kita telah berikan sepanjang individu itu menjalani latihan sebagai kadet di
ALK-UPNM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden pegawai kadet yang didakwa di mahkamah kerana mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas serta kejadian melibatkan seorang pelajar tahun satu UPNM didakwa dipijak senior bulan lalu sehingga alami kecederaan parah.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya mengamalkan keterbukaan membabitkan kegiatan buli dan akan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan melibatkan sebarang perlakuan berkenaan.
“Kita (Kementerian Pertahanan) akan bekerjasama dengan semua pihak, ia kerana kita mempunyai hukuman yang terbatas, paling maksimum ialah untuk memecat daripada menjadi kadet,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE