KUALA LUMPUR – Mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 menjadi antara isu tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) kepada Menteri Ekonomi pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Selain itu, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian terhadap impak projek ECRL terhadap biodiversiti di kawasan hutan simpan sehingga menyebabkan berlakunya konflik antara
hidupan liar dengan manusia.
Beliau turut meminta menteri menyatakan langkah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman hidupan liar yang memasuki kampung.
Sementara itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan hala tuju dan pelan tindakan buat program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) demi menyelesaikan pelbagai isu mendesak.
Pada sesi soal jawab pula, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mahu Menteri Luar menyatakan pendirian semasa kerajaan serta jenis bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan kos diperuntukkan pada 2023-2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza.
Selain itu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan kerajaan untuk menoktahkan isu pensijilan halal terhadap restoran serta syarikat makanan yang telah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat dan dibimbangi boleh mengganggu gugat perpaduan antara kaum dalam negara. – KOSMO! ONLINE