PENYANYI Elyana pernah mengejutkan khalayak apabila membuat pengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat saat tersingkir pada minggu kelima konsert Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Kisahnya gempar sementelah pada waktu tersebut tiada siapa pernah menyangka pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal sedang bertarung dengan penyakit kronik sejak 2011.
Dengan izin Tuhan dan usaha rawatan tanpa henti, keadaan Elyana semakin pulih sehingga dia kini disahkan bebas kanser.
“Alhamdulillah dua tahun lepas doktor mengesahkan kanser saya sudah tiada, tetapi sesi rawatan kemoterapi perlu dilakukan untuk mencegah daripada penyakit itu menyerang semula.
“Masih ada 12 kali rawatan dan sekarang doktor minta saya untuk selesaikan empat dahulu.
“Kemudian doktor akan buat pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sama ada hendak diteruskan kemoterapi lagi atau tidak,” kata Elyana yang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor.
Semestinya gembira dengan perkembangan kesihatan yang semakin membaik, namun tidak dinafikan sesekali rasa ‘sakit’ itu muncul semula.
“Saya tidak pasti sama ada hendak cakap okey atau tidak sebab apabila kita sudah mendapat penyakit kanser ini, payah untuk digambarkan.
“Kadangkala saya akan baik, ada waktunya juga tidak. Hendak cakap sepanjang masa baik juga pun tidak. Tetapi, buat masa ini saya sudah boleh berdamai dengan keadaan sekiranya diserang penyakit.
“Sekarang alhamdulillah saya sudah pandai sedikit untuk menguruskan diri dan juga sudah tahu apa yang hendak dilakukan jika berasa sakit,” katanya senyum lebar.
Bungkam
Saat rawatan berterusan dan menyesuaikan diri dengan emosi dan fizikal dengan menjalani rawatan kemoterapi, Elyana mengakui, kerjaya seninya tetap berjalan seperti biasa.
Malah dia turut berhasrat untuk meneruskan perancangan menerbitkan lagu bertajuk Bungkam yang sudah sekian lama terperam.
Katanya, lagu ciptaan Manusia Putih itu turut mendapat sentuhannya sendiri.
“Ini bukan lagu baharu kerana saya sudah rekod sejak empat tahun lepas. Beberapa kekangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, kemudian saya menjalani kemoterapi.
“Jadi lagu itu terpaksa disimpan sehinggalah saya menemui masa yang sesuai untuk dilancarkan. Sejujurnya lagu ini dibuat sewaktu saya tengah sakit teruk. Waktu itu berat badan mencecah 35 kilogram.
“Disebabkan itu lagu ini sangat istimewa untuk saya kerana semua perasaan sudah dicurahkan. Jadi saya tidak mahu mensia-siakan usaha dan perasaan itu,” kata penyanyi berusia 37 tahun itu.
Terus bercerita tentang lagu, Elyana tidak menafikan kompas aliran muzik masa kini yang kebanyakan terarah kepada cita rasa TikTok sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada anak seni.
Bukan bermaksud menolak trend semasa, namun Elyana mempunyai pandangan tersendiri selain berusaha menghasilkan karya yang bersesuai dengan halwa telinga semua lapisan usia.
“Mungkin dahulu saya ada rasa sombong sedikit kerana mengapa saya perlu mengikut rentak begitu (lagu yang tular dalam TikTok), sebab kerjaya saya jauh lebih lama daripada aplikasi itu.
“Tetapi lama kelamaan, kita perlu menurunkan ego dan mengikut arus. Saya ingin mencuba sesuatu yang baharu, namun masih mengekalkan identiti sendiri.
“Usaha keras itu penting kerana saya perlu menghasilkan sesuatu yang lebih menarik atau dapat menjadi trend dalam TikTok,” ujarnya.
Media sosial
Selain menjadikan platform digital itu sebagai ‘buku rujukan’ muzik, tidak dinafikan TikTok turut menjadi antara pengikat yang mendekatkan jarak antara peminat dengan artis kegemaran mereka.
Namun, perkara itu tidak menarik perhatian Elyana kerana tumpuannya lebih terarah kepada Instagram selain menyifatkan dunia digital itu sebagai ‘medan perang’ yang penuh dengan ‘peluru’ kecaman.
“Saya tidak aktif dalam media sosial sebab rasa hidup ini sudah cukup memberatkan. Tidak terkejar rasanya hendak mengikut rentak masa kini.
“Sebelum TikTok popular lagi, saya sudah kerap membuat membuat siaran langsung siang dan malam seperti yang kebanyakan artis buat sekarang. Lagi pun saya sudah advance (ke hadapan), jadi mahu yang bagaimana lagi?
“Lagi pun saya sendiri tidak berminat untuk membuat kandungan menari atau sebagainya kerana zaman sekarang ini terlalu mudah untuk menghakimi seseorang di media sosial.
“Mereka lebih suka memberi kecaman dan saya tidak boleh tahan dengan perkara itu,” ujarnya.
Dia juga mengambil pendekatan untuk tidak terlalu fokus terhadap media sosial kerana kecaman kata-kata netizen diibaratkan belati tajam menikam emosi.
“Apa yang saya tengok sekarang media sosial ini suka menjadi tempat untuk menilai dan ‘menjatuhkan hukuman’. Jadi saya tidak boleh duduk dalam kelompok itu, lebih baik saya jangan terlibat.
“Perkara ini tidak baik juga dengan kesihatan kerana saya akan overthinking (terlalu berfikir) tentang pandangan khalayak sehingga mengganggu fikiran.
“Saya akan fikir adakah benar apa yang dikatakan netizen.
“Berbeza dengan zaman sebelum digital di mana gosip tidak disampaikan secara berleluasa dan identiti individu itu turut dirahsiakan. Berbeza sekarang yang bukan sahaja cerita, tetapi gambar dan video turut berleluasa tersebar,” katanya.
Atas sebab itulah, Elyana memilih untuk meneruskan kerjaya seni secara bersederhana.
Baginya industri hiburan hanyalah tempat untuk dia mencari rezeki.
“Budaya kecaman dalam media sosial ini sudah dianggap seperti perkara biasa sehingga ada mengatakan jika ingin menjadi artis, kecaman dan kutukan itu lumrah dunia hiburan.
“Tetapi apakah mereka lupa bahawa artis juga manusia biasa yang mempunyai harga diri dan perasaan. Menjadi artis bukan untuk dikecam dan budaya seperti itu bukan satu yang boleh dinormalisasi.
“Mengapa tidak menjadikan kata-kata positif dan saling menghormati dalam media sosial sebagai amalan,” pinta Elyana mengakhiri bicara.