PETALING JAYA – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembantaian ke atas rakyat Palestin dihentikan dan masyarakat antarabangsa mencapai kesepakatan untuk sekatan, penggantungan atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Anwar berkata, Israel telah melampau batas, melampaui akal dan kemanusiaan dengan terang-terangan bertindak kejam melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
“Pembantaian ini menyebaban kita tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan dan juga pengusiran.
“Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun dan kebiadabannya menuntut tindakan serta prinsip tegas untuk melindungi bukan sahaja Timur Tengah, tetapi seluruh dunia,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, malam tadi.
Anwar turut mengecam kekecaman berterusan Israel bukan sahaj kepada rakyat Palestin tetapi juga menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
“Penyekatan operasi UNRWA oleh Israel itu menyebabkan pemberhentian bantuan kemanusiaan dan sekali gus memutuskan sumber keperluan asas untuk kelangsungan hidup di Gaza.
“Oleh itu, kita mesti hentikan kekejaman ini dengan segera dan mengambil langkah untuk menyediakan perlindungan kepada UNRWA.
“Kita juga perlu menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lebanon yang terdiri daripada hampir 50 negara, termasuk Malaysia yang telah diserang dan diancam oleh pasukan tentera Israel,” katanya.
Tambahnya, kekejaman Israel itu kini telah merebak ke Lebanon, Yaman, Syria, Iraq dan Iran.- KOSMO! ONLINE