fbpx

Masalah integriti timbul bila sistem birokrasi menyusahkan – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled berucap di Majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan (Mindef) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa integriti akan mula menyelinap masuk dalam sesebuah kementerian apabila wujud kerenah birokrasi yang menyusahkan pelbagai pihak termasuklah masyarakat di luar sana.

Katanya, isu korupsi atau cubaan untuk memintas (beat the system) kebanyakan bermula akibat prosedur yang menyusahkan.

“Ini tidak bermaksud kita mesti mengambil mudah semua perkara. Mengambil mudah dan memudahkan urusan adalah dua perkara yang berbeza.

“Yang saya tekankan, dalam menjalankan tugas kita dan dalam berurusan dengan masyarakat, kita mesti mempunyai sistem, prosedur dan cara kerja yang jelas dan membantu menyelesaikan sesuatu urusan dengan produktif,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, selaras dengan komitmen ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan
Penyampaian Perkhidmatan (JP4) peringkat Mindef telah ditubuhkan pada 23 Ogos lalu.

“Mindef komited untuk menyemak dan membuat segala pembaharuan yang bersesuaian bagi memastikan sistem kerja kita tidak lapuk, tidak membuang masa atau membazirkan sumber,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya kecanggihan teknologi sedia ada harus dimanfaatkan dalam membudayakan integriti.

“Perkembangan teknologi dan inovasi terkini mesti diberikan perhatian seperti big data analytics dan Kecerdasan Buatan (AI). Kesemua itu membolehkan kita menganalisis trend, memantau prestasi dan mengesan ketirisan dengan lebih baik, cepat dan berkesan.

“Walau apa pun, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan akan mencari jalan untuk melabur dan membangunkan keupayaan teknologi dan pendigitalan dengan serius serta terancang,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun Mindef mempunyai prosedur utuh, teknologi yang canggih, kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah, soal integriti mesti sentiasa disemai serta diperkukuh dalam kalangan warganya.

“Integriti itu adalah tentang sikap dan sifat manusia. Jadi, kita mesti membangunkan keutuhan dan nilai dalam diri setiap warga kita.

“Banyak peristiwa yang dirakam oleh sejarah menunjukkan, betapa biar sekuat dan sekukuh mana pun sesebuah tamadun atau ketumbukan ketenteraan, ketirisan, pecah amanah dan masalah integriti akan meruntuhkannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI