fbpx

Makin ramai peniaga berpakaian pelik, kelakuan jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara klip dan gambar promosi yang pernah dikecam netizen.

PETALING JAYA – “Lakukan aksi pelik dan jelik, berpakaian aneh, seksi serta menghasilkan klip video menggelikan,” itulah gambaran orang ramai mengenai strategi promosi sebahagian besar peniaga untuk melariskan produk mereka.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, orang ramai semakin mengkritik tindakan para peniaga yang dengan berani menggunakan ‘tageline’ (slogan) berunsur lucah ketika mempromosikan jualan sama ada makanan, minuman, produk kecantikan atau barangan keperluan.

Terdahulu, seorang peniaga donut susu dikecam ramai apabila menggunakan dialog “berayaq, berayaq, jet lagi” sambil membuat mimik muka ghairah bermata putih yang dikatakan mempunyai unsur tidak senonoh.

Selepas perbuatannya mendapat perhatian dan kritikan pelbagai pihak, peniaga tersebut tampil memohon maaf menerusi satu hantaran di laman TikTok.

Malah, dia memaklumkan telah menukarkan nama ‘Donut Susu Berayaq’ kepada ‘Bertanah Donut Susu’.

Sebelum ini, beberapa selebriti termasuklah penyanyi pernah dikecam hebat apabila menggunakan konsep tidak sesuai ketika mempromosikan produk atau penghasilan video muzik lagu.

Sebagai contoh, selebriti popular, wanita teruk dikecam selepas mempromosikan produk khusus untuk wanita namun grafik yang digunakan dikatakan tidak sesuai untuk tatapan umum.

Difahamkan, penggunaan gambar pada promosi produk itu dikatakan berbaur lucah dan mempunyai maksud tersirat.

Selain itu, usahawan sensasi negara turut menjadi bualan netizen berhubung klip video muzik lagu rayanya pada tahun lalu yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.

Sementara itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di Facebook berkata, fenomena ini sudah menjadi satu kebiasaan kepada para peniaga atau individu untuk memastikan produk mereka laris di pasaran.

“Walaupun menerima kritikan, tindakan ini menarik lebih banyak perhatian, sehingga jumlah pengikut dan kesedaran terhadap produk meningkat.

“Akhirnya, walaupun terdapat kontroversi, jualan produk menunjukkan peningkatan. Bagaimanapun, ia berpotensi merosakkan imej jenama produk dalam jangka panjang dan memberi contoh negatif kepada pengguna lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI