fbpx

Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki: 4 hari terperangkap tanpa bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafizi bersama beberapa rakyat Malaysia masih terperangkap di Wisata, Labuan Bajo dekat Indonesia apabila penerbangan mereka ke Malaysia dibatalkan sejak 9 November lalu.

PETALING JAYA – Sekumpulan rakyat Malaysia kini masih terperangkap di Labuan Bajo, Indonesia apabila penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan sejak tiga hari lalu ekoran insiden letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.

Berkongsi cerita, Hafizi Idrus, 30, dia bersama yang lain terdiri daripada 10 dewasa dan tiga kanak-kanak, sepatutnya pulang ke tanah air pada 9 November lalu selepas selesai bercuti di sana.

Katanya, selama hampir empat hari tanpa arah tuju, dia sudah berhabis sekitar RM1,000 bagi menampung keseluruhan perbelanjaan tambahan termasuklah kos penginapan dan makanan sepanjang terperangkap di kawasan Wisata, Labuan Bajo.

“Sepatutnya penerbangan pulang kami ke Malaysia pada 9 November lalu, tapi penerbangan dibatalkan dan untuk 14 November depan pun penerbangan penuh dan kami masih tak pasti bila dapat balik.

“Kami dah cuba macam-macam termasuklah minta tolong kedutaan tapi masih tiada maklum balas. Walaupun di Labuan Bajo berada jauh lebih kurang jauh 300 kilometer (km) dari kawasan gunung berapi, tapi laluan penerbangan dari sini ke Malaysia perlu lalu kawasan tersebut.

“Kami sangat berharap pihak kementerian atau agensi pelancongan dapat bantu kami pulang. Daripada pihak syarikat penerbangan juga belum ada sebarang penjelasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, ketika ini kesemua mereka sedang meminta bantuan daripada penduduk setempat untuk bergerak ke Lombok dan seterusnya mendapatkan penerbangan baharu di sana bagi pulang ke Malaysia.

“Ini alternatif kedua kami sekiranya tiada penerbangan dari Labuan Bajo,” jelasnya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki yang turut menyebabkan awan abu tebal sehingga berlaku penutupan lapangan terbang di kawasan terjejas.

Pihak berkuasa menaikkan tahap amaran bagi Gunung Lewotobi Laki-Laki ke tahap tertinggi, memandangkan gunung berapi itu mengeluarkan abu coklat tebal setinggi dua kilometer setiap hari sepanjang minggu lepas.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di atau melawat Indonesia untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini berhubung letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.

Kata kementerian itu, pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini yang diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI