KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita warga emas di sebuah kediaman di Taman OUG di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang wanita pada pukul 8.48 pagi di dalam peti sejuk beku.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki disyaki membunuh ibunya dan menyimpan di dalam peti ais sejak sejak tiga tahun lalu dalam kejadian di Taman OUG, di sini.
Difahamkan suspek lelaki berusia 50-an membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu dibalut dengan tuala dan plastik sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku.
Suspek bagaimanapun membuat laporan polis hari ini dipercayai akibat kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.-KOSMO! ONLINE