TUMPAT – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan untuk menyeludup sebanyak 280 pokok hiasan jenis orkid bernilai RM980,000 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kasban, Kampung Simpangan di sini kelmarin.
Rampasan kesemua pokok-pokok itu dijalankan kira-kira pukul 6.30 petang semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah MPV jenis Toyota Avanza selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, MPV itu membawa lebih 280 pokok orkid bernilai RM980,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
“Pemandu kenderaan itu yang berusia 57 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar pokok-pokok tersebut untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, pemilik nurseri atau kebun untuk anak-anak pokok disemai disyaki menjadi dalang kegiatan menyeludup pokok-pokok hiasan dari Thailand untuk dijual di negara ini.
Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati, pemilik-pemilik nurseri yang berada berdekatan dengan Sungai Golok di negeri ini berkemungkinan terlibat aktiviti menyeludup pokok-pokok itu.
“Tanaman pokok hiasan untuk landskap dan berpasu seperti bonzai atau orkid merupakan pokok yang paling banyak diseludup kerana harga jualannya tinggi selain sering menjadi buruan pembeli.
“Pokok hiasan mendapat permintaan yang tinggi terutama di kawasan perumahan baharu, pejabat dan untuk kerja-kerja landskap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE