ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memberi pujian melambung kepada pemainnya setelah memastikan kemenangan pada babak pertama ketika menjinakkan Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super semalam.
Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, keseluruhan pemain yang diturunkan memberi aksi terbaik mereka di atas padang walaupun mendapat tentangan hebat pasukan lawan.
“Saya gembira apabila pemain menunjukkan kesungguhan mereka ketika diturunkan, pada separuh masa pertama kami beraksi dengan baik dan berjaya mencetak empat gol.
“Pada babak kedua, pemain mula memperlahankan tempo permainan, ada masanya pemain mengalami kesukaran untuk mengekalkan intensiti yang sama setelah selesa di hadapan.
“Saya tidak begitu suka apabila pasukan mengendurkan intensiti permainan kerana JDT perlu agresif dan dinamik sepanjang perlawanan, namun ia boleh difahami kerana kami sudah bermain tiga perlawanan dalam tempoh 11 hari,” katanya.
Dalam perlawanan menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim, Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak hatrik yang ke-12 bersama JDT sementara dua gol lagi dihasilkan oleh Romel Morales.
Mengulas lanjut, Bidoglio berpuas hati dengan persembahan Morales yang membuktikan sentuhan jaringannya masih berbisa walaupun jarang berada dalam kesebelasan utama.
“Bagi saya, Romel (Morales) bermain dengan baik secara berpasukan hari ini, dua jaringan yang dihasilkan pada perlawanan itu memberi suntikan semangatnya untuk lebih dahagakan jaringan.
“Kita akui bagi posisi penyerang itu, ia mempunyai persaingan yang sengit kerana kita mempunyai ramai penyerang yang berkaliber. Romel juga tidak terkecuali dan dia adalah pemain penting dalam skuad Harimau Selatan,” katanya.
Dalam pada itu, Bidoglio memberitahu bahawa JDT akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 16 November ini sebelum perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang Shandong Taishan pada 26 November ini. – KOSMO! ONLINE