fbpx

Jangan jadikan agama alat tunggangan halalkan matlamat – Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-SULTAN ABDULLAH bertitah pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak supaya jangan sesekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat.

Baginda turut memberikan peringatan bahawa masjid perlu kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Hari ini juga saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Pahang agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.

“Dalam hal ini, alim ulama, asatizah dan penceramah harus menjadi contoh yang baik menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah mengingatkan mereka yang diberikan tauliah agar menggunakan peluang itu untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat dengan penuh jujur dan amanah kerana penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu tetapi masyarakat.

Baginda bertitah, tauliah yang diberikan juga boleh ditarik balik sekiranya disalahgunakan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan tersebut.

Dalam pada itu, baginda bertitah dalam isu ajaran agama sesat di negeri ini, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti serta pihak berkuasa terbabit perlu mengambil langkah proaktif yang mana pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada ajaran-ajaran yang menyesatkan.

Titah baginda, disamping itu perlu diperbanyakkan lagi program kesedaran secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat agar setiap individu daripada kanak-kanak sehingga golongan profesional lebih peka terhadap bahana pegangan agama yang menyimpang.

“Isu ini (ajaran sesat) bukan hanya mencemari kesucian agama Islam malah berpotensi memecahbelahkan perpaduan umat, penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh ibarat ‘api dalam sekam’ ia boleh marak tanpa disedari.

“Sesungguhnya nabi Muhamad telah diutuskan bagi membawa ajaran Islam yang sebenar, namun dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat mudah terjerumus dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng,”titahnya.

Sementara itu Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negeri perlu dilakukan dan sudah tiba masanya Mahkamah Syariah di negeri ini diperluaskan kepada empat peringkat.

Ujar baginda, selepas Mahkamah Rayuan Syariah, perlu diwujudkan satu peringkat tambahan yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah yang akan berfungsi mendengar rayuah dan semakan kes daripada Mahkamah Rayuan Syariah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI