PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memandang serius kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Baginda dalam satu kenyataan bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
“Di dalam pasukan tentera latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat dan bukan ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” titah baginda.
Titah baginda, Kementerian Pertahanan perlu mengambil serius berhubung beberapa insiden buli yang berkait dengan pegawai kadet di ALK UPNM.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan sudah merakam percakapan sembilan individu berhubung kes buli seorang penuntut tahun satu UPNM yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior, 21 Oktober lalu.
Khamis lalu, seorang pelajar tahun empat dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas menekap seterika terhadap seorang pelatih tahun dua. – KOSMO! ONLINE