KUALA LUMPUR- Festival Asia 2024 yang telah berlangsung di selama tiga hari pada hujung minggu baru-baru ini telah menerima kunjungan lebih daripada 8,000 orang menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan dan pameran seni di dalam dan juga di luar negara.
Program anjuran Yayasan Gemilang itu adalah pertama kali dianjurkan di Lanai Malaysia Tourism Centre (MaTIC) itu juga adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan badan-badan kebudayaan,dan kedutaan asing bagi meraikan kekayaan serta keunikan budaya Asia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gemilang, Safia Jamil, program yang bertemakan ‘Warna-warni Asia’ ini dianjurkan sebagai penghormatan kepada warisan kebudayaan negara yang pelbagai di benua Asia.
“Negara kita merupakan tuan rumah dan terdapat juga beberapa penyertaan daripada negara lain seperti Palestine, China dan Indonesia.
“Festival ini bukan sekadar tempat untuk melihat pameran seni dan budaya tetapi juga merupakan platform yang unik bagi pengunjung merasai, menikmati dan menghayati pelbagai warisan budaya dalam suasana yang meriah,” katanya pada majlis pelancaran festival tersebut di sini baru-baru ini.
Selain itu, Safia berkata, setiap negara yang terlibat telah mempamerkan identiti unik negara masing-masingmelalui persembahan tarian, muzik tradisional, demonstrasi seni dan juga pelbagai hidangan autentik yang melengkapkan festival ini.
Sekali gus, festival tersebut dapat menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai pelancong menyaksikan keunikan budaya selain dapat memupuk semangat perpaduan, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya bersama.
“Kami berharap Festival Asia bakal menjadi acara tahunan yang unik bagi semua lapisan masyarakat yang hadir,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE