KUALA LUMPUR – Sebanyak RM32.29 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPN) patut mula dibayar balik oleh 2,716,10 peminjam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd, Kadir berkata, jumlah pinjaman yang sepatutnya dibayar balik itu merupakan rekod sehingga 31 Disember 2023.
“Sehingga 31 Disember 2023, PTPTN telah meluluskan 3,951,404 pinjaman dengan jumlah keseluruhan dikeluarkan sebanyak RM71.3 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,716,110 pinjaman telah patut mula dibayar balik dengan amaun patut bayar balik keseluruhan berjumlah RM32.29 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah hutang keseluruhan yang terakru atau terhutang oleh pelajar di bawah pinjaman PTPTN setakat tahun 2023.
Selain itu, Hok Liong turut bertanya mengenai jumlah keseluruhan peminjam Melayu, Cina dan India setakat tahun 2023 dan peratusan peminjam Melayu, Cina dan India yang
berhutang setakat tahun 2023.
“Jumlah kelulusan adalah bergantung kepada permohonan yang diterima dan syarat-syarat lain yang ditetapkan, di mana sebanyak 2,842,682 pinjaman atau 71.9 peratus adalah kaum bumiputera manakala 1,108,722 atau 28.1 peratus pinjaman adalah bukan bumiputera.
“Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang mendapat tawaran ke IPTA, IPTS dan Politeknik,” katanya.
Jelasnya pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Tiada kuota atau peruntukan khusus yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat-syarat lain yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE