PETALING JAYA – Cuaca di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka kembali cerah petang ini selepas dilanda hujan lebat dan ribut petir sejak pagi tadi.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan terkini memaklumkan bahawa hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sehingga pukul 4 petang khususnya di kawasan Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
“Amaran ribut petir ini melibatkan negeri Terengganu, terutama di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
“Di Sarawak, kawasan Limbang dijangka terkesan, manakala di Sabah, cuaca buruk ini akan melanda kawasan Pedalaman termasuk Sipitang,” katanya.
Penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan agar berjaga-jaga terhadap risiko banjir kilat serta pokok tumbang akibat angin kencang.
Selain itu, pengguna jalan raya di kawasan berkenaan juga disarankan untuk lebih berhati-hati semasa memandu. – KOSMO! ONLINE