GEORGE TOWN – Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan parah akibat terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini 26 Oktober lalu sudah dibenarkan pulang ke rumah, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, mangsa yang merupakan anak tunggal telah menunjukkan perkembangan positif dan dibenarkan keluar dari wad sebuah hospital swasta pada 9 November lalu.
“Kertas siasatan berhubung kejadian berlaku telahpun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) baru-baru ini dan semua tindakan sudahpun diambil.
“Ketika ini, kita cuma menunggu laporan perubatan mangsa dan kemudiannya barulah pihak pendakwaan akan memutuskan tindakan selanjutnya (sama ada nenek mangsa akan dituduh atau sebaliknya),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kanak-kanak lelaki dilaporkan mengalami kecederaan pada paru-paru, patah tulang rusuk dan cedera pada tangan akibat terjatuh dari bilik tingkap utama, pada 26 Oktober lalu.
Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini sebelum dipindah ke wad biasa minggu lalu. Ketika dalam pemantauan oleh pakar, mangsa dikatakan telah memberi perubahan kesihatan yang amat positif apabila sudah boleh makan dan bercakap dengan ibu bapanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa yang terjatuh dari tingkap utama tingkat 12 ditemui neneknya di aras tujuh bangunan berkenaan.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain di ruang tamu seorang diri manakala neneknya pula berada di dalam tandas. – KOSMO! ONLINE