fbpx

Bank Islam edar lima dana PMB Investment

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaharah (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Pemangku Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin (dua dari kanan) pada pemeteraian kerjasama di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengurusan dana Islamik bawah Pelaburan MARA Berhad, PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengumumkan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bagi mengembangkan peluang pelaburan patuh syariah.

Melalui kerjasama tersebut, Bank Islam selaku Penasihat Unit Amanah Institusi (IUTA) akan mempromosi dan mengagihkan lima daripada 19 dana unit amanah PMB Investment, menerusi 135 cawangannya di seluruh negara.

Dana terlibat adalah PMB Dana Al-Aiman, PMB Dana Bestari, PMB Shariah Index Fund, PMB Shariah Equity Fund dan PMB Shariah Cash Management Fund.

Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd. Idzwan Izuddin Ab. Rahman berkata, kemasukan Bank Islam selaku IUTA kelapan dalam rangkaian pengedarannya bakal menggandakan jumlah cawangan fizikal yang mengedarkan dana unit amanah PMB Investment.

Jelasnya, perkembangan tersebut dijangka mampu meningkatkan langganan unit amanah yang terlibat sekitar 10 hingga 20 peratus dalam tempoh setahun.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Bank Islam, membolehkan kedua-dua entiti meningkatkan jangkauan produk pelaburan patuh syariah.

“Melalui rangkaian pengedaran luas Bank Islam, PMB Investment dapat mengakses peluang baharu dan mengembangkan pangkalan pelaburnya ke seluruh Malaysia,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama di sini.

PMB Investment menyasarkan nilai aset di bawah pengurusannya akan berkembang untuk mencapai RM2 bilion pada 2025, berbanding RM1.47 bilion ketika ini.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Kekayaan di Bank Islam, Datin Zaharah Muttalib berkata, trend yang disaksikan pihaknya pasca pandemik ialah pelabur kini mahukan pelaburan yang lebih sofistikated serta pelbagai, dan kerjasama PMB Investment membolehkan Bank Islam memperluaskan penawarannya bagi memenuhi keperluan berkenaan.

Ujarnya, dana PMB Investment yang ditawarkan adalah sesuai untuk semua peringkat golongan, daripada orang biasa sehingga golongan berada, dengan pelaburan permulaan untuk pelanggan runcit adalah RM1,000, manakala pelaburan seterusnya ditetapkan pada RM500.

Berhubung strategi pengedaran, beliau menjelaskan bahawa saluran jualan utamanya kekal melalui cawangan, yang melibatkan interaksi terus pengurus hubungan dan pegawai perbankan peribadi dengan pelanggan.

“Pelabur peringkat permulaan dengan saiz pelaburan lebih kecil terutamanya sering memerlukan konsultasi secara fizikal jadi kami guna cawangan untuk berhubung dengan mereka.

“Pendekatan secara digital biasanya digunakan oleh yang lebih berpengalaman, dan kami sedang mempersiapkan infrastruktur yang diperlukan bagi memenuhi permintaan tersebut,” katanya yang turut melihat untuk menambah penawaran dana unit amanah PMB Investment menuju ke hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI