ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 27,336 liter minuman keras yang tidak bercukai untuk pasaran pulau bebas cukai di Kawasan Perindustrian PKNS, Pelabuhan Klang di Selangor, Jumaat lalu.
Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani dengan bantuan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) memeriksa sebuah treler di kawasan perindustrian tersebut kira-kira pukul 3.45 pagi.
“Hasil pemeriksaan rapi terhadap treler itu menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenis dan jenama dipercayai barang larangan.
“Setelah menunggu kira-kira sejam tiada individu tampil sebagai pemilik lori atau barangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, treler itu ditinggalkan berkunci dan tiada sebarang dokumen pengimportan ditemui bersama barangan.
Menurutnya, pihaknya seterusnya bertindak menyita kesemua minuman keras yang berstatus Malaysia Duty Not Paid (MDNP) itu yang dianggarkan bernilai RM281,454 dan melibatkan cukai RM611,097.26.
Tambahnya, sindiket penyeludupan itu dipercayai menyalahgunakan peruntukan di bawah Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2022 dengan menyeludup minuman keras tanpa prosedur pengimportan yang sah bagi penjualan di pasaran tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE