JOHOR BAHRU – Tujuh termasuk dalang sindiket yang disyaki ‘memborong’ dadah sebelum membungkus dan menjual semula di pasaran diberkas dalam tiga serbuan di Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Kluang awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan bermula pukul 8 malam, 3 November sehingga 11 pagi, 4 November lalu, pihaknya menahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita asing.
Kesemua mereka yang ditangkap berusia 27 hingga 62 tahun termasuk ketua sindiket yang berusia 33 tahun.
“Kita merampas sebanyak 158,844.80 gram (g) serbuk ekstasi bernilai RM26,527,081.60, 21,510, pil ekstasi (RM1,185,366), 11,500 biji pil erimin (RM300,000) dan 6,110g ketamin (RM305,500).
“Sindiket ini boleh dianggap sebagai pemborong terbesar kerana mereka membeli, membungkus semula dan memasarkan untuk pasaran di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah dirampas adalah RM28.32 juta dan boleh digunakan lebih 857,784 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
Kumar memberitahu, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM263,000.
Sindiket tersebut yang dipercayai mula aktif sejak Ogos lalu menjual jus minuman dadah pada harga RM200 hingga RM250 sepeket.
Menurutnya, mereka menggunakan tiga buah rumah termasuk disewa di kawasan berpagar dan berpengawal untuk membungkus dan menyimpan dadah tersebut.
“Kesemua suspek direman sehingga 14 November ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, dua wanita asing pula disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. – KOSMO! ONLINE