KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang membuka sebanyak 1,877 kertas siasatan melibatkan kerugian berjumlah RM81 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 8.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 2,049 kertas siasatan dibuka.
Katanya, JSJK Pahang melaksanakan sebanyak 1,449 tangkapan melibatkan kesalahan menipu, pinjaman wang along dan lain-lain kesalahan.
“Sebanyak 1,412 jumlah kertas siasatan telah dituduh di mahkamah. Ini termasuk kertas siasatan berdasarkan laporan National Scam Response Centre sebanyak 465 pertuduhan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, JSJK Pahang berjaya menyelesaikan 57 pertuduhan menjelang hujung tahun ini sekali gus membuktikan pengukuhan struktur jabatan berkenaan yang mula membuahkan hasil. – KOSMO! ONLINE