TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit untuk menyimpan barangan kawalan melebihi kouta sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, selain itu, mereka turut dibenarkan untuk menambah dan menyimpan barang kawalan berjadual sebanyak 30 peratus selama lima bulan melebihi kouta sedia ada.
“Jumlah itu melebihi daripada had simpanan sedia ada dalam lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA). Ini bagi memastikan bekalan mencukupi dan mudah diperoleh di kawasan terjejas banjir.
“Kebiasaannya musim tengkujuh berlaku dalam tempoh lima bulan bermula bulan ini (November) hingga Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengurusan Bencana Banjir Bagi Kesiapsiagaan Keberadaan Bekalan Keperluan di ABM Maju Solution Kota Kubang Labu, di sini hari ini.
Azman memberitahu, sebanyak 21 barang kawalan itu termasuk beras, minyak masak, gula, susu, gandum termasuk beberapa barang keperluan lain boleh didapati di 67 peruncit, 66 pemborong dan 15 premis stesen minyak yang telah dilantik.
Katanya, KPDN Kelantan sudah merancang untuk mengadakan Jualan Rahmah ketika musim banjir. – KOSMO! ONLINE