PARIT – Seorang penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut, manakala tiga rakannya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Seri Iskandar di sini semalam.
Mangsa berusia 19 tahun dan berasal dari Sabah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung nahas membabitkan kereta jenis Perodua Bezza pada pukul 8.19 malam.
Sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi nahas, pihak kami mendapati sebuah kereta terbabas ke bahu jalan, namun tiada mangsa yang tersepit.
“Nahas melibatkan empat mangsa berusia 19 tahun, namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga yang lain cedera ringan,” katanya hari ini.
Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada tiga mangsa yang cedera sebelum dihantar ke Hospital Changkat Melintang menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan. – KOSMO! ONLINE