ALOR SETAR – Keputusan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC untuk tidak meneruskan perbincangan pengambilalihan 100 peratus saham kelab itu didakwa mungkin dipengaruhi sentimen tidak sihat.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek mendakwa, ia juga berkemungkinan disebabkan cerminan kenyataan pihak tertentu yang mahu mencemarkan reputasi kumpulan tersebut serta anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC).
Katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas golongan yang memainkan sentimen sedemikian sehingga ada mendakwa dirinya serta syarikat diasaskannya itu sebagai ‘scammer’.
“Keputusan itu diterima dengan hati terbuka tetapi ada pihak yang memainkan sentimen tidak bertanggungjawab sebelum ini sehingga mencalarkan reputasi kami. Saya hendak tahu juga apa yang telah kami tipu mereka selama ini?
“Jadi, kami akan ambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Pertimbangan sedang dibuat berkaitan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan KDA FC mengenai tindakan kelab bola sepak tersebut menghantar surat kepada MMC bagi memaklumkan keputusan pihak pengurusan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC.
Mengulas lanjut Azizul berkata, ketika ini beliau berharap agar pihak pengurusan pasukan itu segera menyelesaikan isu yang berlaku dalam pasukan, termasuk tunggakan gaji yang berlarutan agak lama. – KOSMO! ONLINE