fbpx

Sektor perladangan makin sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Borhan (tengah) ketika sesi sidang akhbar pada lawatan media anjuran FGV di Sungkai, Perak baru-baru ini. – Syakir Radin

SALAH satu program yang disusun atur dalam lawatan media anjuran FGV Holdings Berhad (FGV) ke Sungkai, Perak bertemakan Perjalanan Ke arah Kelestarian adalah memberi peluang kepada media mendekati kehidupan pekerja ladang mengoperasikan jentera moden untuk memudahkan kerja menuai tandan kelapa sawit sebelum dihantar ke kilang berdekatan.

Mengangkat setandan kelapa sawit yang beratnya sekitar 20 hingga 24 kilogram memang mudah bagi mereka yang mahir tetapi bukan untuk petugas media yang hanya sekali dalam seumur hidup menjejak kaki ke ladang.

Ramai yang agak skeptikal dengan pekerjaan buruh di ladang tetapi kerjaya murni itu dianggap sebagai ‘lubuk emas’ bagi pekerja asing, khususnya mereka yang berpengalaman sehingga mampu menjana pendapatan RM3,000 sebulan.

Pekerja turut menikmati pelbagai manfaat seperti kemudahan asrama yang lengkap, termasuk akses kepada internet yang membolehkan mereka berkomunikasi dan menghilang rindu kepada kampung halaman di seberang laut.

Keprihatinan FGV yang memiliki ribuan pekerja asing di beberapa ladangnya membolehkan warganya memberi komitmen penuh dalam menyokong misi Kumpulan bagi menjadi sebuah syarikat perladangan terkemuka, dengan pengeluaran minyak berkualiti tinggi untuk pasaran global serta tempatan.

Pengarah Bahagian Perladangan FGV, Borhan Bachi yang mengetuai lawatan tersebut memperincikan petugas media dengan pelbagai maklumat khususnya tentang operasi di ladang dan kilang, serta pelbagai teknologi membuatkan ramai yang ‘celik mata’ tentang nilai kerjaya, inovasi serta teknologi terkini yang diamalkan berbanding amalan konvensional yang dilakukan oleh peneroka sebelum ini.

Borhan yang memiliki pengalaman lebih daripada 33 tahun dalam bidang tersebut berkata, sektor perladangan kini berdepan dengan pelbagai cabaran, namun FGV sentiasa bersedia ke depan mengatasi isu tersebut melalui sokongan daripada semua pihak dalam kumpulan.

KOSMO!: FGV mengambil berat tentang kebajikan pekerja di ladang dan komited dalam mematuhi garis panduan yang tersenarai dalam inisiatif kelestarian, boleh jelaskan lebih lanjut mengenainya?

BORHAN: Kami memiliki le­bih daripada 46,000 pekerja jadi bayangkanlah berapa ba­nyak peruntukan yang disediakan untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal, kebolehcapaian dan menangani isu pengasingan, pe­ngurusan dokumentasi serta pentadbiran am.

Syarikat menyediakan perbelanjaan besar untuk kemudahan tempat tinggal pekerja, termasuk hampir RM500 juta untuk penyediaan kemudahan tempat tinggal dari tahun 2018 hingga 2023. Untuk tempoh tiga tahun akan da­tang, kami bakal melabur kira-kira RM600 juta untuk memperbaiki kemudahan dan utiliti.

Ini termasuk penyediaan pusat rawatan air, bekalan air dan bekalan tenaga elektrik. Kami juga menyediakan kemudahan internet kerana ia penting bagi pekerja bukan sahaja untuk berkomunikasi khususnya de­ngan keluarga, malah bagi memantau gaji yang dipindah masuk ke akaun bank masing-masing.

Borhan

Gaji lumayan pekerja ladang dan penyediaan tempat tinggal serta kemudahan mungkin boleh menarik graduan atau profesional muda me­nyertai sektor perladangan, apa komen tuan?

Saya sudah buat banyak taklimat kerjaya di beberapa program dan antara soalan yang diajukan kepada peserta adalah, sama ada ada mereka memiliki anak yang bekerja di ladang kelapa sawit dan jawapannya sering tiada.

Persoalannya, bagaimana caranya kita mahu menarik golo­ngan muda, kumpulan profesio­nal dan graduan memilih sektor perladangan sebagai kerjaya. Saya lihat ada dua perkara utama iaitu pakej dan juga hala tuju kerjaya.

Bagi aspek pakej yang ditawarkan, ia perlu meliputi persekitaran tempat tinggal, kemudahan lengkap dan keboleh­capaian, yang mana golongan ini mahukan liputan yang stabil di kawasan masing-masing. Kami juga perlu mengambil kira aspek kadar gaji yang perlu ditambah baik kerana sekiranya ia tidak dilaksanakan, maka tiada lagi orang muda yang berminat sehinggakan pengurus ladang pun mungkin terpaksa diimport dari negara jiran.

Selain itu, kita juga perlu beri penerangan yang jelas tentang hala tuju dan masa depan pekerja dalam bidang ini. Jika seseorang itu menyertai syarikat sebagai kadet penanam pokok, kita perlu terangkan apa masa depan untuk mereka dan apa jawatan lebih tinggi yang boleh dicapai pada masa depan.

Apakah unjuran harga bagi minyak sawit mentah (MSM) berbaki dua bulan tahun ini?

Ketidakstabilan harga MSM memang tidak boleh dielakkan, tetapi kita boleh hadapi­nya de­ngan cara melaksanakan kawalan kos yang baik dan memberi nilai tambah kepada produk, sebagai contoh, syarikat turut menjual isirung kelapa sawit ke Jepun.

Melihat kepada harga MSM, ia tidak menentu tapi dilihat tidak akan turun ke paras di bawah RM2,800 satu tan yang disebabkan oleh pertumbuhan dalam permintaan makanan.

Pada September dan Oktober lalu, harga MSM telah melepasi RM3,800 hingga RM4,000 satu tan dan sedang cuba menghampiri paras RM5,000. Hal ini boleh berlaku pada akhir tahun ini.
Pada Januari 2025, disasarkan kadar harga MSM bakal melepasi RM5,000 satu tan kerana pengaruh peniaga terhadap kesan volum yang rendah, ekoran faktor cuaca dan juga trend.

Kadar turun naik harga MSM di pasaran juga ditentukan oleh peniaga dan apa yang mempe­ngaruhi peniaga adalah kebimba­ngan dan keyakinan mereka.

Apakah pelaksanaan gaji minimum dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat?

Mengenai gaji minimum, ia telah dimasukkan dalam bajet syarikat dan kesannya agak besar, tetapi saya tidak dapat maklumkan perkara tersebut dengan lebih lanjut. Sementara itu, bab caruman KWSP ia belum dibuat dan kami akan membuat kiraannya.

Mengenai caruman KWSP, terdapat persoalan misalnya bagi pekerja Indonesia berusia 40 tahun yang bekerja di sini hanya untuk tempoh tiga tahun sebelum balik ke negara asal. Bo­lehkah dia keluarkan duit tersebut? Jika hal ini dikuatkuasakan, kami akan patuh tetapi akan timbul persoalan daripada para pekerja nanti.

Pastinya kami akan terkesan, jadi sebagai persediaan kami akan menambahkan nilai dan produktiviti. Salah satu cara untuk berdepan dengan masalah kenaikan kos adalah menambah produktiviti bukan dengan memotong gaji pekerja.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI