RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembinaan rumah di kawasan yang terdedah banjir ditinggikan dan disesuaikan dengan tahap risiko bencana tersebut.
Titah baginda, fenomena banjir merupakan perkara biasa di Pahang khususnya bagi penduduk yang tinggal di berdekatan sungai.
“Ini memang suatu fenomena yang biasa di negeri Pahang, mereka yang tinggal di tepi sungai akan menghadapi risiko seperti ini (banjir).
“Namun, saya berharap kalau ada kesampaian rezeki dan bantuan daripada pihak kerajaan atau swasta apabila hendak membina rumah biarlah rumah itu tinggi sikit,” titah baginda ketika berangkat menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang di sini, hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah. – KOSMO! ONLINE