GEORGE TOWN – Polis menahan teman lelaki dan kakak angkat kepada remaja perempuan yang ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominumium di Farlim di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, penahanan kedua-duanya yang masing-masing berusia 18 dan 19 tahun dilakukan selepas ujian air kencing terhadap kedua-dua individu tersebut menunjukkan keputusan positif dadah.
“Kedua-duanya ditahan awal pagi tadi selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Bahaya 1952.
“Bagi kes remaja perempuan yang meninggal dunia, kita perlu menunggu laporan toksikologi. Kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenainya pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan maut dipercayai selepas terjatuh dari biliknya di tingkat 16 sebuah kondominium di Farlim di sini. -KOSMO! ONLINE