fbpx

Teater Alang Retak Seribu, garapan kehidupan dua dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA babak menarik dalam teater Alang Rentak Seribu yang dipentaskan di Auditorium JKKN Perak, Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Mesej kehidupan akibat pertembungan zaman dan perbezaan pemikiran berjaya di­sampaikan menerusi pementasan teater Alang Rentak Seribu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini.

Pementasan itu telah diadakan pada malam 8 dan 9 November oleh JKKN Perak di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Perak (MPK).

Teater yang berlangsung hampir dua jam itu adalah olahan daripada karya asal Alang ­Rentak Seribu oleh Seniman Negara Ke-5, Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hasan dengan hasil seni tersebut berjaya memenangi Anugerah Sastera tahun 1973.

Alang Rentak Seribu mengisahkan sekumpulan rombongan Filem Negara dari Kuala Lumpur datang ke kampung untuk membuat penggambaran filem tentang kehidupan di kampung.

Pelbagai kejadian berlaku disebabkan pertembungan nilai dan pendapat antara masyarakat kampung dengan kru filem, namun konflik itu berjaya diuruskan oleh seorang pemuda kampung
bernama Alang yang bijak mengawal permasalahan.

Antara konflik timbul ialah pergaulan bebas orang bandar yang tidak diterima penduduk kampung, manakala masyarakat kampung dianggap ketinggalan zaman.

Olahan teater itu digarap de­ngan baik kerana banyak adegan yang berjaya mencuit hati kira-kira 200 penonton apabila melihat telatah pelakon dalam setiap babak.

Seramai 60 orang tenaga produksi serta barisan pelakon menjayakan teater itu yang diolah dan diarahkan oleh Ard Omar.

Teater itu menampilkan pelakon hebat antaranya Azizah Mahzan, Nesa ldrus, Faha Azhar, Pak Chu Raja Lawak, Rosli Rahman Adam, Faris Jamhari dan ramai lagi.

Ketika ditemu bual oleh ­Kosmo!, Ard melahirkan rasa puas hati kerana penonton yang hadir memberi sokongan, dan melihat semangat itu dapat ­diterjemahkan kepada lakonan di atas pentas.

“Persembangan sangat baik dan penuh sokongan daripada penonton. Saya gembira mesej-mesej yang ingin disampaikan berjaya memberi kesan kepada penonton. Terkesan kepada drama, teladan dan pedomannya,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah JKKN Perak, Abd. Rashid Abdullah melahirkan rasa syukur apabila teater mendapat sambutan luar biasa sehingga ada yang mengharapkan hari pementasan dapat ditambah.

“Mesej yang disampaikan sangat jelas mengenai dunia yang berbeza antara orang di bandar dan di kampung. Namun masih boleh bersama. Kehadiran penonton memberi semangat kepada aksi lakonan,” katanya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI