JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan menahan seorang lagi wanita tempatan bagi membantu siasatan melibatkan kes penculikan seorang pemaju hartanah melibatkan wang tebusan sebanyak RM20 juta, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, wanita berusia 57 tahun itu ditahan susulan risikan yang dijalankan hasil siasatan ke atas tangkapan suspek sebelum ini.
“Wanita tersebut dipercayai bersubahat dengan tiga lagi tertuduh lain dalam melakukan perbuatan jenayah berkenaan.
“Pada 4 November lalu, seorang lelaki tempatan beserta dua lelaki asing berusia antara 29 hingga 49 telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan sama.
“Ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan jamin dengan kes akan disebut semula pada 17 November ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, penahanan wanita itu turut melibatkan rampasan antaranya sepucuk pistol, 250 butir peluru hidup, sepasang gari dan wang tunai RM1.95 juta, SGD1 juta (RM3.3 juta) serta USD400,000 (RM1.75 juta).
Katanya, wanita terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961. – KOSMO! ONLINE