SEBERANG PERAI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara berseloroh menyifatkan penangguhan perbicaraan tuntutan kes saman yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadapnya sebagai mengikut jejak langkah figura itu.
Menurut Saifuddin, Muhammad Sanusi sendiri pernah berbuat demikian ketika berdepan dengan pelbagai kes sebelum itu.
“Saya pun macam Menteri Besar Kedah juga yang apabila (perbicaraan) kes telah ditetapkan, dia pernah memohon penangguhan.
“Jadi saya pun minta tangguh juga, saya ikut betul-betul macam Menteri Besar Kedah buat. Nanti bila tarikh baharu ditetapkan, kita jumpa di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi tetap dengan pendirian untuk meneruskan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa menteri tersebut memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah. -KOSMO! ONLINE