DOHA – Doha menggantung peranannya sebagai pengantara utama bagi rundingan gencatan senjata di Gaza serta perjanjian pembebasan tebusan sehingga Hamas dan Israel menunjukkan kesungguhan dalam perbincangan, kata kementerian luar Qatar semalam.
Negara yang menjadi tuan rumah kepada kepimpinan politik Hamas sejak 2012 dengan kelulusan Amerika Syarikat (AS) itu telah terlibat dalam proses diplomasi selama beberapa bulan bagi menamatkan perang di Semenanjung Gaza.
Namun, rundingan itu yang turut melibatkan Mesir dan AS sebagai orang tengah, telah berulang kali menimbulkan masalah sejak gencatan senjata selama seminggu pada November 2023.
“Qatar memberitahu semua pihak sejak 10 hari lalu semasa percubaan terakhir untuk mencapai persetujuan, bahawa ia akan menghentikan usahanya untuk menjadi pengantara antara Hamas dan Israel jika persetujuan tidak dicapai dalam pusingan itu.
“Kami akan meneruskan usaha itu apabila kedua-dua pihak menunjukkan kesanggupan dan kesungguhan mereka,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari dalam satu kenyataan.
Satu sumber diplomatik berkata kepada AFP sebelum ini: “Wakil Qatar memaklumkan kedua-dua Israel dan Hamas bahawa selagi terdapat keengganan untuk merundingkan perjanjian dengan niat baik, mereka tidak boleh terus menjadi pengantara.”
Kedua-dua pegawai Qatar dan AS berkata, pegawai Hamas akan kekal di Doha selagi kehadirannya menawarkan saluran komunikasi yang berdaya maju.
“Kami tidak menerima sebarang permintaan untuk meninggalkan Qatar,” kata seorang pegawai kanan Hamas di Doha kepada AFP.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada November lalu dengan berpuluh-puluh tebusan dibebaskan, pusingan rundingan berikutnya gagal menamatkan perang.
Satu-satunya isu yang menjadi halangan utama pemeteraian gencatan senjata adalah desakan Hamas supaya Israel berundur sepenuhnya dari Gaza, sesuatu yang telah berulang kali ditolak oleh pegawai Rejim Zionis. – AFP