VALENCIA, SEPANYOL – Berpuluh-puluh ribu orang berarak di bandar raya Valencia semalam bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap cara pihak berkuasa Sepanyol mengendalikan bencana banjir di wilayah itu yang membawa maut.
Sebilangan penunjuk perasaan melaungkan slogan “Pembunuh! Pembunuh!”, malah ada yang membawa sepanduk mengecam Presiden Wilayah Valencia, Carlos Mazon serta Perdana Menteri, Pedro Sanchez.
Wilayah itu adalah yang paling teruk dilanda banjir bulan lalu serta yang paling serius dalam beberapa dekad. Ia mengorbankan sekurang-kurangnya 220 orang dan menyebabkan pekan-pekan kecil serta bandar-bandar dipenuhi lumpur.
Penduduk tempatan berang kerana kekurangan amaran diberikan, selain ada yang menyatakan bahawa amaran rasmi mengenai banjir hanya dihantar ke telefon-telefon bimbit orang ramai apabila kereta sudah dihanyutkan.
Terdapat juga kemarahan terhadap apa yang dikatakan pengkritik sebagai tindak balas perlahan pihak berkuasa selepas banjir kilat yang menjejaskan kira-kira 80 bandar dan bandar di rantau tersebut.
Polis dan penunjuk perasaan berhadapan semalam dalam suasana tegang, manakala beberapa pertempuran tercetus, kata seorang wartawan AFP.
Perhimpunan bermula di dataran hadapan dewan bandar raya sebelum orang ramai berarak ke ibu pejabat wilayah Valencia.
Seorang aktivis, Ana de la Rosa menyalahkan pengurusan yang lemah dan pertelingkahan politik antara pihak berkuasa serantau dan negara sebagai menjadi punca keadaan itu.
“Mereka mencampur aduk peperangan gerila politik dalam keadaan bukan pada masanya,” katanya.
Operasi pembersihan di beberapa kampung dan pencarian mayat berpuluh-puluh orang yang hilang masih diteruskan sehingga kini. – AFP