MADRID – Perlumbaan berbasikal jelajah dunia musim 2024 hampir melabuhkan tirainya dan kini tumpuan terarah kepada pelumba yang menerima gaji lumayan hasil pencapaian mereka sepanjang tahun ini.
Tadej Pogacar dari pasukan UAE Team Emirates mengekalkan kedudukan teratas sebagai pelumba yang menerima gaji tertinggi.
Mengikut laporan media Sepanyol, Pogacar yang baru sahaja memperbaharui kontrak bersama UAE Team Emirates akan menerima gaji lumayan sebanyak €8 juta (RM37.6 juta) pada musim 2025.
Pogacar yang mamperagakan prestasi luar biasa pada musim 2024, memenangi kejuaraan utama seperti Giro d’Italia, Tour de France dan dua perlumbaan klasik sekali gus dilihat layak diberikan gaji yang lumayan tersebut.
Selain Pogacar, Chris Froome juga menerima tawaran gaji lumayan mencecah €5.5 juta (RM25.9 juta) daripada pasukan Israel – Premier Tech.
Walaupun berdepan penurunan prestasi, Froome yang kini berusia 38 tahun tetap menerima bayaran tinggi sekali gus menjadikannya antara pelumba paling berharga di dalam peloton.
Musim 2025 dijangka menjadi musim terakhir buat legenda itu dalam sukan berbasikal profesional tetapi dia berhasrat untuk menawan Tour de France.
Sementara itu, Primoz Roglic yang muncul juara Vuelta a Espana 2024 berada di kedudukan ketiga dalam senarai gaji tertinggi dengan jumlah sama seperti Froome iaitu €5.5 juta (RM25.9 juta).
Roglic yang bersaing bersama pasukan Red Bull – BORA – Hansgrohe pada awal 2024 kini bersiap sedia untuk saingan Tour de France musim depan dan membawa harapan tinggi untuk menandingi Pogacar.
Selain itu, Remco Evenepoel yang memilih kekal bersama pasukan Soudal – Quick-Step hampir menjadi pelumba bergaji tertinggi jika dia menerima tawaran €10 juta (47.11 juta) daripada Red Bull – BORA – Hansgrohe.
Bagaimanapun, pelumba berusia 24 tahun dari Belgium itu memilih untuk kekal yang menjadikannya hanya menerima €5 juta (RM23.55 juta), sekaligus berada di luar senarai tiga teratas yang menerima gaji tertinggi pada musim 2025. – AGENSI