JAKARTA – Perbuatan sekumpulan penternak haiwan di Boyolali, wilayah Jawa Tengah yang melakukan protes dengan mandi susu lembu mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infoboyolaliterkini menunjukkan dua lelaki disiram dengan susu di atas sebuah trak pikap.
Mereka sempat ketawa dan mengangkat kedua-dua tangan ke atas, seolah-olah berbangga dengan perbuatan tersebut.
Lebih mengejutkan apabila beberapa penternak lain turut membuang susu lembu di tempat pelupusan sampah.
Protes itu dilakukan selepas kerajaan mengehadkan kuota susu lembu untuk diimport ke kilang atau Industri Pengolahan Susu (IPS).
Rakaman itu mencatatkan lebih 271,000 tontonan bersama 9,211 tanda suka.
“Seeloknya disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Anda turut mendapat pahala daripada membazir begitu sahaja,” komen seorang netizen.
“Ini adalah satu bentuk pembaziran! Lebih baik dijual semula dengan bungkusan yang kemas!” komen netizen lain. – AGENSI