JERANTUT – Pembinaan pusat timbang sawit swasta di tengah-tengah kawasan ladang sawit milik Felda dan milik anak syarikat kerajaan negeri serta Felcra selain ladang sawit milik pekebun kecil di persimpangan Kota Gelanggi di sini menimbulkan persoalan dan keresahan dalam kalangan penduduk.
Kewujudan pusat timbang berkenaan dilihat tidak signifikan memandangkan peneroka Felda yang terdiri daripada Felda Kota Gelanggi 1, 2 dan 3 serta Felda Jengka 8 dan Jengka 10 menjual sawit kepada kilang Felda yang menyediakan resit kepada mereka.
Manakala bagi anak syarikat kerajaan negeri dan Felcra mereka menjual kepada pusat timbang dan kilang milik mereka sendiri manakala bagi pekebun kecil sejak sekian lama menjual sawit di dua pusat timbang di Pulau Tawar di sini.
Susulan itu wakil peneroka Felda mengadakan demonstrasi aman di hadapan pusat timbang berkenaan hari ini bagi membantah kewujudan pusat berkenaan.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abd Rahman Abd Ghani berkata, pembinaan pusat timbang di situ menimbulkan persoalan kerana ia tidak diperlukan oleh penduduk sekitar termasuk lebih 2,000 peneroka Felda.
Tegasnya, sehubungan itu penduduk khususnya peneroka membantah sama sekali pembinaan pusat timbang berkenaan yang dikhuatiri akan menjadi tempat penjualan sawit yang dicuri daripada ladang sawit milik penduduk dan ladang sawit berhampiran.
“Kami terkejut kerana tiba-tiba sebuah pusat timbang diwujudkan di sini, apa keperluannya, mereka hendak beli sawit siapa? adakah peneroka mahu menjual sawit di sini yang dibeli dengan harga lebih murah berbanding dijual di kilang Felda.
“Jadi kita bimbang nanti kecurian berleluasa sebab sekarang pun ada kecurian, jadi bila ada timbang berdekatan kita bimbang kecurian akan terus berlaku apatah lagi pada masa ini setandan sawit berharga kira-kira RM27,” katanya ketika mengadakan demonstrasi aman membantah pembinaan pusat timbang sawit di sini hari ini.
Menurutnya, pembinaan pusat timbang itu dilihat tidak sepertimana syarat ditetapkan sebelum ini kerana ia terletak begitu hampir dengan ladang sawit yang mana jarak paling hampir dengan ladang kelapa sawit terdekat ialah hanya kira-kira 50 meter.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Jengka 8, Shaharin Othman mempersoalkan motif pembinaan pusat timbang berkenaan kerana peneroka Felda menjual sawit kepada kilang Felda manakala bagi pekebun kecil sawit mereka menjualnya di pusat timbang di Pulau Tawar yang terletak berhampiran.
Katanya, apa yang dibimbangi mereka adalah kecurian sawit memandangkan kebanyakan peneroka merupakan golongan ‘veteran’ dan tidak mampu melakukan pemantauan setiap hari di ladang sawit.
Sementara itu Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman berkata, beliau berasa pelik apabila pusat timbang sawit itu dapat dibina sedangkan sebelum ini permohonan koperasi Felda untuk membinanya tidak diluluskan.
Malah katanya, lokasi pembinaanya yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan tidak munasabah dengan keperluan menimbulkan keraguan terhadap pematuhan prosedur bagi pembinaan pusat timbang.
Justeru beliau berharap perkara itu dapat disiasat oleh pihak berkenaan termasuk pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – KOSMO! ONLINE