MILAN – Juara bertahan Serie A, Inter Milan menunjukkan kekuatan yang semakin mantap apabila hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Napoli dan bersedia untuk pertembungan yang dinanti-nantikan di San Siro awal pagi esok.
Kejayaan Inter menewaskan Arsenal 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin bukan sahaja meneruskan rekod tanpa kalah mereka di Eropah, tetapi turut menjadi laungan amaran buat Napoli.
Skuad kendalian Simone Inzaghi itu tampil dengan prestasi konsisten dan belum dibolosi dalam kempen UCL musim ini selain hanya dua mata di belakang Liverpool yang berada di puncak.
Lebih manis, kemenangan ke atas Arsenal diraih tanpa lima pemain utama dan kini Inter bersedia mempersiapkan pasukan bagi mempertahankan gelaran Serie A musim ini.
“Ia kemenangan yang diraih dengan penuh komitmen. Apa yang lebih penting malam ini ialah hasilnya. Kini, saya bersedia sepenuhnya untuk pertembungan dengan Napoli,” ujar pemain tengah Inter, Hakan Calhanoglu yang kembali menyinar selepas pulih daripada kecederaan.
Pertemuan awal pagi esok menyaksikan Inter dijangka tampil dengan kesebelasan utama terbaik selepas Nicolo Barella, Federico Dimarco, Marcus Thuram, Henrikh Mkhitaryan dan Francesco Acerbi hanya diturunkan sebagai pemain simpanan menentang Arsenal.
Di kem Napoli pula, kekalahan mengejut 3-0 kepada Atalanta di gelanggang sendiri minggu lalu membangkitkan tanda tanya mengenai kemampuan pasukan kendalian Antonio Conte itu untuk kekal konsisten.
Perlawanan nanti bukan sahaja menentukan pasukan yang akan menguasai carta liga tetapi juga menjadi penentu siapa di antara dua gergasi Itali tersebut lebih bersedia untuk merebut gelaran musim ini. – AGENSI