GUA MUSANG – Bakat pelajar Orang Asli setanding dengan masyarakat lain apabila berani mengaplikasikan kemahiran dan bakat mereka dalam kemahiran robotik.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan (KPM), Azman Mahsuri berkata, pelajar Orang Asli mempunyai kesedaran tentang pendidikan untuk masa depan mereka.
“Anak-anak Orang Asli sebenarnya tidak ketinggalan malah ada pelajar yang dijemput sertai pertandingan robotik di Korea Selatan. Kebolehan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) banyak dicungkil di bangku sekolah sebelum digilap pihak universiti.
“Kita banyak melaksanakan program kesedaran pendidikan Orang Asli. KPM yakin dengan kebolehan yang dimiliki mampu mengangkat mereka ke tempat yang lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan Karnival Bakat dan Kerjaya Anak Orang Asli 2024 Memperkasakan Generasi Muda Malaysia Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, pelajar Orang Asli berpeluang mendapatkan latihan, bimbingan dan sokongan dalam kerjaya melalui interaksi yang dijalankan.
“Melalui inisiatif stem #57 Transformasi Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi, kita memberi penekanan kepada kemahiran, transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah dan juga tahap penguasaan minimum pencapaian dalam bidang bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin berkata, pihaknya bersama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi memberi dokongan kepada anak Orang Asli yang berpotensi, namun tidak mempunyai pendedahan terhadap kemahiran tertentu. – KOSMO! ONLINE