KUALA LUMPUR – Empat wanita warga asing disyaki menawarkan perkhidmatan seks berharga harga RM100 satu sesi diberkas menerusi Op Noda di sekitar Bukit Bintang, malam tadi.
Kesemua mereka berusia antara 35 hingga 50 tahun itu dipercayai memberi khidmat seks kepada dua hingga tiga pelanggan sehari dengan menyasarkan warga asing serta pelanggan tetap.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tangkapan dilalukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Operasi yang dijalankan pada pukul 11.30 malam itu menahan empat wanita terdiri daripada warga Iran, Uzbekistan dan Thailand.
“Turut dirampas ketika serbuan adalah lapan keping kondom, wang tunai berjumlah RM3720, wang tunai 150USD, empat telefon bimbit, paket tisu basah, gel pelincir dan anak kunci,” katanya hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek akan menawarkan harga bagi khidmat seks yang diberikan sebelum pelanggan dibawa ke bilik penginapan yang disewa suspek di bilik hotel bajet sekitar Bukit Bintang.
“Kesemua suspek ini dipercayai bergerak secara ‘freelance’ tanpa dikawal oleh mana-mana penjaga. Kegiatan pelacuran dipercayai dijalankan suspek ini bermula dari pukul 5 petang hingga 3 pagi,” katanya.
Tambah beliau, kesemua individu terbabit disyaki masuk ke negara ini sebagai pelancong serta menjalankan kegiatan pelacuran jalanan di sekitar lokasi berkenaan.
Sulizmie berkata, kesemua individu ditahan ini dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE.