fbpx

NIOSH cipta sejarah bentang kajian mental di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayop Salleh menyerahkan cenderahati NIOSH kepada Professor Keld Alstrup Jensen (baju biru) yang mewakili “National Research Center for the Working Environment” (NFA) Denmark

PETALING JAYA – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menjadi satu-satunya institut penyelidikan luar negara yang dijemput membentangkan kajian pada Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Pembentangan NIOSH dalam persidangan yang menghimpunkan pakar kesihatan mental dari seluruh dunia pada 7 November lalu membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam penyelidikan terapi kesihatan mental.

Delegasi NIOSH diketuai oleh Pengarah Eksekutif, Ayop Salleh dan Pakar Teknikal Siti Nurani Hassan yang membentangkan kajian bertajuk “Elektroensefalografi (EEG) dan Variabiliti Kadar Jantung (HRV) Dalam Reaksi Terhadap Pelbagai Terapi Kesihatan Mental” (Electroencephalography (EEG) and Heart Rate Variability (HRV) Reactions Across Various Mental Health Therapies).

Penyelidikan tersebut dibuat dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia ke arah kesejahteraan mental di tempat kerja.

“Berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

“Penyelidikan NIOSH yang dibentangkan di persidangan di Copenhagen menunjukkan tindak balas fisiologi terhadap terapi kesihatan mental menggunakan dua biomarker utama iaitu EEG (aktiviti elektrik otak) dan HRV (variabiliti kadar jantung) bagi memahami hubungan minda dan tubuh serta menunjukkan bagaimana terapi yang berbeza mempengaruhi istirehat dan kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kajian tersebut melibatkan tiga pendekatan terapi utama iaitu latihan pernafasan dalam, aromaterapi dengan minyak pati dan rukyah bersama kumpulan kawalan untuk perbandingan hasil cerapan.

Jelasnya, hasil kajian menunjukkan pernafasan dalam dan aromaterapi adalah kaedah yang berkesan untuk mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.

Terapi yang mudah dilaksanakan ini membantu pekerja mencapai ketenteraman, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan fokus.

Selain menyertai persidangan, delegasi NIOSH Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Persekitaran Kerja Denmark bagi merangka kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran baharu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia termasuk isu kesihatan mental.

Langkah itu juga selari dengan usaha NIOSH untuk melatih 10,000 peserta di bawah Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan secara percuma.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI