JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersubahat dengan tiga individu bagi menculik seorang lelaki bagi menuntut wang tebusan RM20 juta bulan lalu.
Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak itu kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, nenek empat cucu itu didakwa bersuhabat dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung menculik mangsa berusia 59 tahun bagi menuntut wang tebusan RM20 juta.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Straits View di sini kira-kira pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Oleh itu, Wan Kooi didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh. Mahkamah tidak membenarkan wanita itu diikat jamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini. – KOSMO! ONLINE