fbpx

Natxo Insa cedera, tonggak KDN FC dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fazrul Amir telah menyertai sesi latihan pertama bersama skuad Harimau Malaya malam ini. Foto ihsan FAM

PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya berdepan ‘dugaan’ awal apabila pemain berpengalaman kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa terpaksa digugurkan dalam senarai pasukan selepas mengalami kecederaan kembali menyarung jersi Harimau Malaya tidak kesampaian.

Jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mendedahkan Natxo mengalami kecederaan ketika mewakili JDT pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Ulsan HD pada Rabu lepas.

Kata Pau Marti, pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi turut menerima nasib sama seperti Natxo dan kedua-dua pemain tersebut diganti dengan Zhafri Yahya yang mewakili Kuala Lumpur City (KL City) dan Fazrul Amir Md Zaman (Kelantan Darul Naim).

“Fazrul Amir dan Zhafri Yahya sebelum ini berada dalam senarai bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini.

“Mukhairi hadir melapor diri hari ini tetapi terpaksa dilepaskan apabila pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan selepas dia beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada Khamis.

“Sementara Zhafri menggantikan Natxo yang tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan ACL Elite menentang Ulsan HD pada Rabu.

“Semoga Mukhairi dan Natxo cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” katanya.

Harimau Malaya telah berlatih di padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Laos di Bangkok, pada Khamis sebelum menentang India di Hyderabad, 18 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI